>

19 February 2019

Pos Kuala Mu

Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak adalah suatu perkampungan Orang Asli jauh di Banjaran Titiwangsa. Di sana Suku Temiar merupakan etnik utama dan perkampungan Orang Asli lain disekitar.

Pos Kuala Mu
Pos Kuala Mu jaraknya lebih kurang 65 kilometer dari pekan Sungai Siput Utara. Laluan mudah dari pekan Sungai Siput melaui Kampung Batu Tiga, Kampung Lasah, kemudian melalui perkampungan Orang Asli paling pinggir dari kawasan banjaran iaitu Kampung Bawong dan terus melalui pos-pos perkampungan Orang Asli yang lain hingga berakhir di Pos Kuala Mu. Pos Kuala Mu diambil dari nama sebatang sungai iaitu Sungai Mu yang mengalir disuatu kawasan lembah yang rata kawasannya. Kawasan lembah ini berada pada ketinggian 600 ke 700 meter dari aras laut. Terdapat beberapa buah kampung di Pos Kuala Mu iaitu Kampung Kuala Mu, Kampung Bersah, Kampung Toh, Kampung Gapeh Hilir dan Kampung Gapeh Hulu.

lokasi Kuala Mu. Koordinat 4.838325, 101.333869


Suku Temiar
Etnik utama di Kuala Mu dan kawasan sekitar adalah Suku Temiar. Temiar dikelompokkan dalam keluarga Senoi. Dari sudut lingustik, bahasa Temiar bukan dari keluarga Austronesia, tapi tergolong dalam Austroasiatik iaitu keluarga bahasa serumpun dengan Mon-Khmer (Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand). Selain Temiar, ada beberapa lagi suku Orang Asli Semenanjung yang tergolong dalam rumpun bahasa Austroasiatik. Di Malaysia, Temiar mendiami sekitar negeri Perak dan Kelantan. Petempatan Suku Temiar sentiasa berada di pesisir kawasan sungai di kawasan pedalaman. Suatu masa dahulu Suku Temiar hidup berpindah-randah. Namun zaman moden hari ini, mereka sudah hidup menetap kekal disamping pelbagai infrastruktur dibina oleh kerajaan.

kawasan penutur Austroasiatik / Mon Khmer

Pembinaan infrastruktur jalanraya ke Kuala Mu sebenarnya telah membuka sumber rezeki baru masyarakat Temiar Kuala Mu. Sungai Mu jadi tarikan sebenar orang luar untuk masuk ke sana menikmati percutian dan perkelahan jauh di tengah kawasan Banjaran Titiwangsa. Sedar akan tarikan tersebut, chalet dan kawasan perkelahan lengkap dengan infrastruktur asas dibina di sana dan menjadi tarikan orang luar masuk ke Pos Kuala Mu.


Sungai Mu

Aliran Sungai Mu merupakan salah satu dari lembangan Sungai Perak
Lembangan Sungai Perak
Sungai Mu merupakan salah satu daripada lembangan Sungai Perak. Sungai Perak adalah yang kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu sepanjang 400 kilometer bermula dari Hulu Perak di Taman Negeri Royal Belum dan berakhir di Bagan Datuk. Walau bagaimanapun aliran yang bermula dari Kuala Mu ini bertemu dengan aliran utama Sungai Perak berdekatan Kampung Pulau Kemiri, Kuala Kangsar. Di hulu aliran ini dinamakan sebagai Sungai Mu. Berdekatan Pos Legap, aliran ini dikenali sebagai Sungai Pelus. Sungai Pelus seterusnya mengalir turun membentuk aliran sungai yang lebih lebar dan bertemu Sungai Perak di Kampung Pulau Kemiri. Aliran hasil percantuman Sungai Perak dan Sungai Pelus yang lebih lebar ini melalui bandar dan pekan di Perak (urutan hulu ke hilir) iaitu Kuala Kangsar, Manong, Parit, Bota (Kiri & Kanan), Lambor (Kiri & Kanan), Kampung Gajah, Teluk Intan dan seterusnya berakhir di Bagan Datuk.


Ride 17 februari 2019 : Lokasi di Chalet Kampung Bersah

Ride Kuala Mu
Ahad 17 Februari 2019. berkesempatan lagi ke Kuala Mu menikmati Sungai Mu yang sejuk dan menyegarkan. Suasana yang tenang dengan iklim Lembah Mu yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ketinggian Lembah Mu 600-700 meter dari aras laut dan kawasannya yang dikelilingi bukit menjadikan Kuala Mu suatu lembah yang menjadi tarikan orang luar untuk ke sana. Untuk ke Kuala Mu laluan mudah melalui pekan Sungai Siput. Dari Jalan Persekutuan 1, hanya melalui Jalan Negeri A19 (simpang pertemuan berdekatan Mahkamah Majistret Sungai Siput, Jabatan Kerja Raya). Hanya terus tanpa perlu membelok pada mana-mana persimpangan dan jalan tersebut penghujungnya adalah Kuala Mu. Jarak dari Pekan Sungai Siput sejauh 65 kilometer.  

Di Kuala Mu ada beberapa kawasan perkelahan yang dikendalikan oleh penduduk Orang Asli setempat iaitu Chalet Kampung Bersah, Chalet Kampung Kuala Mu dan kawasan perkhemahan Kampung Gapeh Hilir.

Chalet Kampung Bersah

Sesuai untuk bermalam dan kawasan yang cantik dan mendamaikan
Bagi yang belum mencuba mandi di Sungai Mu, pasti terkejut dengan suhu air yang sangat sejuk. Airnya tersangat sejuk walaupun matahari tegak di atas kepala. Aliran yang sejuk ini mengalir dari alur-alur air dari kawasan bukit bukau yang luas terbentang sepanjang Banjaran Titiwangsa.

Topografi punca aliran Sungai Mu. Muka bumi beralun menghasilkan banyak alur-alur kecil yang turun membentuk sungai yang sejuk alirannya. Puncak tertinggi berdekatan setinggi 1500 meter dari aras laut (tak pasti sudah dinamakan sebagai gunung apa)

sejuk aliran Sungai Mu hinggakan boleh menyejukkan air botol yang direndam ke dalam sungai

Chalet Kampung Kuala Mu

Seni bina Kaum Temiar di Chalet Kampung Kuala Mu

Sungai Mu di Kampung Kuala Mu

Kawasan Chalet Kampung Kuala Mu sesuai untuk berkelah dengan adanya kawasan teduh yang luas dan banyak pondok di sepanjang tepian sungai. Untuk bermalam ianya lebih sunyi kerana berada paling hujung dalam kampung. Bermalam rasanya lebih selesa di Chalet Kampung Bersah yang berada betul-betul di tepi jalan. 



Sebelum ini pernah menjelajah jauh lagi ke dalam ke Pos Yum yang mana penghujungnya dekat dengan sempadan negeri Kelantan. Bole ke link di bawah untuk catatan pengembaraan tersebut.


Waktu tu jalan ke Pos Yam masih belum berturap dan hanya jalan berbatu dan sebahagian lagi tanah merah.


Perancangan mendatang, akan cuba menjelajah ronda ke air terjun Kampung Penyel di Pos Yum. Sebelum ni memang tak pernah tahu kewujudan air terjun tersebut dan dapat tahu melalui perkongsian di laman sosial.

Ride Kuala Mu 1 Februari 2019.

Sekian saja nukilan tak terpadat.

photo by GoProHero6,Huaweip9
edit by Snapseed

Nukilan oleh HS 01:45pm 19 Februari 2019
Sekian. Yang kurang Ditambah, Yang lebih Harap hadam-HS

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
2010-2014©HASIFI_SANI